Tuesday, June 17, 2014
Tuesday, January 14, 2014
Jurnal Refleksi Diri
Minggu
Pertama
Tarikh : 16/09/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada pagi ini, kami semua berkumpul
dalam kelas di bilik Seni Lakon Awalan. Kelas Seni Lakon Awalan menggabungkan
kami bersama pelajar minor teater. Kami diberikan pengenalan tentang pelajaran
dan pembelajaran (P&P) mengenai praktikal seni lakon dan Kursus Seni Lakon
yang merujuk kepada konsep melahirkan bakal guru. Segala penerangan yang
diberikan disertakan dengan praktikal sekali bagi menambahkan lagi pemahaman
pelajar mengenai kursus ini. Antara penerangan yang diberikan ialah Rancangan Pelajaran Harian, aktiviti praktikal dalam
lakonan dan Persembahan Akhir Lakonan yang harus diikuti. Penerangan ini dilakukan
oleh Encik Shuradi bersama Puan Haneem.
Selesai
memberi penerangan, kami diberikan satu permainan bersama Pn. Haneem. Permainan
ini digelar ‘merasai aurah’ yang memerlukan konsentrasi para pemain untuk
merasai aurah-aurah di sekelilingnya. Kami duduk dalam satu bulatan, berpegang
tangan, memejam mata dan kemudian menumpukan perhatian pada tangan untuk
merasakan aurah yang dikeluarkan dari tangan. Aurah tersebut bermula dari satu
titik(tangan) ke titik yang lain dan kemudian sampai kepada tangan yang
memulakan. Permainan ini memerlukan keadaan yang sunyi, penuh konsentrasi dan
fokus terhadap aurah yang disampaikan. Akhirnya, Pn. Haneem menerangkan kaitan
antara permainan tersebut dengan lakonan.
Minggu Kedua
Tarikh : 23/09/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada pagi ini, kami telah
diberikan kuliah tentang lakonan. Kuliah dijalankan dalam bilik Seni Lakon.
En.Shuradi telah menerangkan definisi
Lakonan, sejarah lakon, mengenal ruang lakon, mengenal pentas, mengenal medium,
mengenal genre dan mengenal diri dalam lakonan. En.Shuradi juga telah
menerangkan teori Stanislavski tentang empat tahap jenis lakon iaitu jenis
lakon eksploitatif, jenis lakonan lampau amatur, lakonan mekanikal, dan lakonan
representational. Selain itu, teori Stanislavski tentang pembinaan internel dan
external karakter juga telah diterangkan kepada para pelajar. Kuliah ini dapat
membantu saya bersama rakan pelajar yang lain untuk mengenalpasti elemen-elemen
yang disebutkan sekaligus memperkenalkan kami kepada asas di dalam teater dan
juga lakonan.
Selesai kuliah, kami
kemudiannya diberikan lagi permainan yang dipanggil ’unta dan penunggang’.
Permainan ini dibahagikan kepada dua kumpulan untuk berlawan. Dalam permainan
ini, saya telah menjadi unta manakala penunggang pula rakan saya, Anim.
Kumpulan saya telah berjaya memenangi permainan ini. Pada akhir kelas,
Pn.Haneem telah menerangkan kepentingan yang terdapat dalam permainan tersebut.
Permainan ini memerlukan kerjasama yang kuat antara kumpulan, fokus pada pihak
lawan dan cuba mengeluarkan sejumlah tenaga yang ada pada badan. Kelas pada
kali ini memberikan kami banyak ilmu pengetahuan yang baru dalam dunia seni
lakon.
Minggu ketiga
Tarikh : 02/10/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada pagi ini, kami diberikan
penerangan tentang aktiviti-aktiviti Asas Lakonan. Aktiviti ini dimulakan
dengan ice breaking dan brain storming. Kesemua pelajar terlibat
dalam aktiviti ini kerana penting untuk mengetahui asas-asas lakonan. Selesai
melakukan aktiviti tersebut, kami kemudiannya diminta untuk senyap dan
melakukan aktiviti keheningan (relaxation) kerana memerlukan suasana yang
tenang bagi aktiviti ini. Selepas itu, En.Shuradi menunjukkan kami body awareness (posture and movement). Pembelajaran ini penting bagi mendapatkan
posisi badan yang sesuai dan menyediakan para pelajar untuk menggerakkan segala
otot dalam badan. Kami kemudiannya melakukan aktiviti memorazation. Aktiviti ini memerlukan kami untuk mengingati setiap
perkara yang berlaku. Aktiviti ini juga mampu mengajar kami cara menyimpan memori
dalam minda dan mengekalkannya.
Selesai aktiviti ini, kami
kemudiannya diajar tentang penggunaan ruang pentas. Setiap pelakon harus tahu
cara menggunakan ruang pentas agar tidak persembahan tidak kelihatan kosong dan
menarik perhatian penonton. Pada kelas kali ini, kami diajar cara mengatasi
rasa malu, rendah diri, dan gentar semasa melakukan kesempatan. Sebelum
berakhirnya kelas, En.Shuradi telah memberikan kami skrip sebagai tugasan akhir
bagi subjek ini untuk dipersembahkan pada minggu ke empat belas. Pelajar minor
telah mendapat skrip berkumpulan yang menggabungkan mereka semua. Tajuk yang
mereka perolehi ialah Rumah Lama Kampung Baru. Manakala, bagi pelajar major
pula, skrip diberi secara individu dan berkumpulan. Saya telah mendapat skrip
yang bertajuk Laut Lebih Indah Dari Bulan (LLIDB) yang dilakukan secara
monolog.
Minggu
Keempat
Tarikh : 07/10/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada pagi ini, kami diberi
penerangan tentang elemen-elemen penting dalam proses pembinaan lakonan. Elemen
ini penting bagi membantu para pelajar melakonkan skrip mereka termasuk saya.
Kami kemudiannya melakukan aktiviti yang terliat dalam asas-asas lakon seperti
aktiviti concentration and focus, kepekaan
lima deria manusia, dan perasaan (feeling). Dalam aktiviti ini, kami diarah
untuk duduk berjarak dengan rakan lain, menutup mata dan hanya mendengar suara
dari En.Shuradi sahaja. Suasana pada masa itu amat tenang dan gelap kerana
En.Shuradi mahukan kami benar-benar merasa dalam dunia yang diperkataknnya.
Aktiviti ini memerlukan kami fokus dalam pendengaran, konsentrasi terhadap
suara yang keluar dari mulut En.Shuradi serta menggunakan lima deria rasa kami
hanya dengan menggunakan minda dan otak.
Selesai melakukan aktiviti ini,
En.Shuradi menanyakan perasaan kami semua semasa melakukan aktiviti tersebut.
Kesemua pelajar merasa tenang dan konsentrasi dalam aktiviti ini. Selesai
sahaja, kami kemudiannya diberi peneragan tentang kaitan aktiviti pada hari ini
dengan skrip yang kami peroleh. Setiap skrip yang diperoleh perlu dipersembahkan
secara konsisten dan tenang agar mampu memberikan persembahan yang menarik.
Kami kemudiannya diberi masa untuk menganalisis semula skrip yang diperolehi.
Minggu
Kelima
Tarikh : 14/102013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada
kuliah pagi ini, kami diberi penerangan tentang teori lakonan Stanislavski.
Stanis yang merupakan salah satu tokoh dalam bidang lakonan telah memberi teori
tentang lakonan. Kami telah diberi penerangan tentang cara mengetahui
perwatakan watak, sejarah, jalan cerita dan proses menganalisis skrip. Kami
telah diajar tentang menggunakan teknik Stanis seperti teknik magic if, dan teknik imaginasi.
En.Shuradi
mahukan kami berlatih dengan skrip yang telah diberi dengan menggunakan teknik
Stanislavski dalam lakonan kami kemudiannya mengadaptasi lakonan tersebut.
Sebelum melakukan latihan, saya tidak memahami jalan cerita tentang skrip yang
saya perolehi. Setelah mendapat penerangan dari En.Shuradi tentang teknik
Stanislavski, saya telah mendapat ilmu cara menganalisis skrip yang saya dapat
kemudian melakukan proses latihan seperti yang dikehendaki pensyarah. Kami
akhirnya mampu mancari sejarah perwatakan dalam skrip masing-masing dengan
menggunakan teknik Stanislavski.
Minggu Keenam
Tarikh : 21/10/2013
Masa : 10.00 pagi
Pada
pagi ini, kami diberi penerangan tentang sambungan teknik Stanislavski iaitu
teknik kebenaran dan kepercayaan, ritma dan tempo dan teknik konsentrasi dan
tumpuan. Teknik kebenaran dan kepercayaan adalah teknik bagaimana pelakon cuba
meletakkan kebenaran dan mendapat kepercayaan daripada penonton kerana dunia
sebenar pelakon dan dunia lakonannya adalah berbeza. Sebagai contoh, skrip yang
saya perolehi berkisar tentang seorang isteri yang menghadapi konflik dengan
suaminya. Nama isteri tersebut ialah Bulan manakala Laut adalah nama suaminya.
Untuk memasuki dunia Bulan sememangnya perkara yang sukar bagi saya kerana saya
tidak mengetahui apa-apa tentang perkara yang dialami Bulan. Tetapi, dengan
menggunakan teknik Stanislavski serta proses penganalisian, saya memahami serba
sedikit tentang dunia Bulan dan cuba merasai perasaan Bulan.
En.Shuradi
juga telah menerangkan serba sedikit jalan cerita LLIDB. Penerangan ini telah
meningkatkan pengetahuan saya bagi mendapatkan perasaan sebenar watak. Pada
23/10/2013, saya telah berlatih dengan Pn.Haneem pada waktu malam di bilik seni
lakon. Pn.Haneem meminta kami untuk menyenaraikan biodata watak dan cuba
mengadaptasikan segala perwatakan watak dalam diri kami. Pada tarikh
26&27/10/2013, En.Shuradi telah mengarahkan semua pelajar major teater
untuk berkampung di fakulti bagi melakukan proses latihan. Latihan pada kali
ini telah meningkatkan pengetahuan kami semua mengenai skrip yang diperoleh.
Minggu Ketujuh
Tarikh : 28/10/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pagi ini
kami diajar satu lagi teknik Stanislavski iaitu
teknik ’memory recall’. Teknik
ini adalah cara pelajar mengadakan
lakonan berdasarkan petikan dari sesuatu peristiwa, tragedi dan iklan semasa dan mengadakan
lakonan melalui insiden masa lalu. Melalui teknik ini, kami boleh mengadaptasi sesuatu perkara lepas dengan
mengimitasi semula peristiwa tersebut sebagai satu persediaan memakai watak di
dalam lakonan. Ianya akan meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti pelajar.
Selesai
kuliah, kami melakukan latihan bersama pensyarah yang telah ditetapkan. Saya
bersama beberapa pelajar yang lain berlatih bersama Pn.Haneem untuk latihan
kali ini. Dalam latihan kali ini, Pn.Haneem telah mengajar kami pelbagai
ekspresi dan emosi bagi menudahkan kami berlatih. Latihan dari segi fizikal
juga telah dilakukan. Pada hari ini, saya telah mendapat pelbagai pengetahuan
tentang lakonan serta cara hendak mengolahkan perwatakan Bulan dalam diri saya
walaupun belum mencapai tahap yang sempurna.
Minggu Kelapan
Tarikh : 04/11/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Dalam
kelas kali ini, En.Shuradi telah memberi kami latihan yang berkaitan dengan
emosi, suara dan ekspresi muka. Pelbagai emosi yang telah dilontarkan seperti
emosi marah, gembira, sedih dan kecewa. Kesemua latihan tersebut berkaitan
dengan lakonan kerana setiap pergerakan memainkan peranan yang penting bagi
menunjukkan persembahan yang menarik. Latihan pada kali ini membantu saya untuk
mendapatkan emosi dan ekspresi yang sesuai dalam lakonan saya. Selain itu, pada tahap ini juga, pelajar telah berupaya membina
keyakinan diri dengan membuat persembahan improvisasi di depan khalayak ramai
bagi menilai observasi yang dilakukan dari tindak tanduk lakonan yang
menyakinkan ataupun sebaliknya.
Pada
waktu malam, saya bersama seorang lagi rakan saya melakukan latihan di rumah
Pn.Haneem. latianh ini berlangsung sehingga pukul 12.00 tengah malam. Walaupun
lewat, tapi saya merasa puas kerana latihan ini telah memberi banyak tunjuk
ajar kepada saya bagi mendapatkan kehidupan watak Bulan ke dalam diri saya.
Pn.Haneem juga telah meminta saya bersama rakan saya untuk menyediakan prop
yang diperlukan semasa latihan yang seterusnya.
Minggu Kesembilan
Tarikh : 11/11/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada
pagi ini, kami melakukan latihan sama seperti minggu kelapan. Latihan pada kali
ini adalah untuk meningkatkan lagi mutu lakonan. Selesai melakukan latihan,
En.Shuradi, Pn.Haneem bersama beberapa pelajar telah berbincang untuk
menyediakan jadual pada hari persembahan. Persembahan tersebut akan berlangsung
selama seminggu termasuk dengan persembaha dari budak minor serta major.
Minggu kesepuluh
Tarikh : 18/11/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada
pagi ini, kami telah diajar tentang subteks iaitu perkara yang tidak dalam teks
tetapi diolah sendiri oleh pelajar berdasarkan watak dan perwatakan dalam
skrip. Kami telah diajar cara mengucapkan dialog dengan pemahaman yang kritis
dan mempersembahkan latihan tersebut. Latihan ini membantu pelajar untuk mahir
dalam menganalisa skrip dan
mengaplikasikan permahaman subteks ke dalam bentuk ucapan sebenar.
Minggu Kesebelas
Tarikh : 25/11/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada
pagi ini, kami diberi penerangan tentang latihan yang telah dilakukan selama
ini. En.Shuradi telah membantu kami dalam meningkatkan mutu latihan serta cara
melontarkan dialog dengan cara yang paling tepat berdasarkan ekspresi muka.
Kami juga melakukan persembahan individu berdasarkan kreaviti yang lahir dari
kepelbagaian aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Latihan lakonan dan
amalan berdasarkan hafalan puisi, monolog ataupun aktiviti-aktiviti yang
berkaitan dan terpilih. Pada hari ini, persediaan para pelajar
diuji untuk menghadapi realiti lakonan sebagai seorang pelakon yang boleh
memegang apa jua watak. Ini merupakan satu persiapan diri kami sebagai seorang
guru untuk menghadapi apa jua situasi yang boleh diatasi dengan penuh
pendekatan berdasarkan latihan yang telah berlangsung selama ini.
Persediaan ini penting bagi
menyiapkan diri kami menghadapi segala ujian yang bakal dihadapi. Malahan, saya
merasa yakin dengan keadaan diri saya setelah diberi tunjuk ajar oleh beberapa
orang pensyarah. Walaupun tahap keyakinan belum mencapai 100%, namun saya dapat
merasakan perubahan dalam diri saya serta latihan lakonan saya. Ini menunjukkan
segala teknik Stanislavski serta latihan dari pensyarah telah membantu dalam
meningkatkan mutu lakonan saya bersama rakan yang lain.
Minggu
Kedua belas
Tarikh : 02/12/2013
Masa : 11.00 pagi
Masa : 11.00 pagi
Pada
pagi ini, kami melakukan latihan seperti biasa bagi menyiapkan diri sebelum
persembahan. Pn.Haneem telah meminta saya bersama rakan yang lain untuk
menyediakan segala prop dan kostum yang diperlukan dalam latihan untuk sesi
fotografi. Keesokan harinya, sesi fotografi telah berlangsung dari pagi
sehingga petang. Sesi ini adalah untuk poster persembahan kami. Bagi latihan
yang seterusnya, kami diberi arahan untuk menyediakan segala peralatan yang
diperlukan untuk persembahan. Penyediaan
merangkumi penglibatan keseluruhan tenaga produksi untuk
satu persembahan yang mantap dan bersesuaian dengan keseluruhan kandungan
kursus.
Minggu Ketiga belas
Tarikh : 09/12/2013
Masa : 11.00pagi
Masa : 11.00pagi
Pada
minggu ini, latihan berjalan seperti biasa. Segala perbincangan telah dilakukan
untuk menyiapkan projek akhir. Segala peralatan seperti set dan prop telah
disediakan. Para pelajar juga telah menyiapkan diri untuk melakukan persembahan
yang bakal tiba. Produksi ini berjalan dengan lancar sepanjang hari dengan
bantuan En.Shuradi dan Pn.Haneem.
Minggu Keempat belas
Tarikh : 16/12/2013
Masa : 10.00 pagi
Masa : 10.00 pagi
Pada
hari ini, kami akan mempersembahkan segala hasil latihan kami yang telah
berlaku sepanjang minggu sebelum ini. En.Shuradi bersama Pn.Haneem akan menilai
persembahan kami berdasarkan persembahan yang dilakukan. Persembahan bermula
pada 16-20 Disember 2013, masa 8.00-10.30 malam, bertempat di Panggung Budaya,
Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada
persembahan ini, pelajar boleh
mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan meluahkan ekspresi melalui lakonan
yang dipersembahkan. Saya telah melakukan persembahan pada tarikh 19 Disember
2013, persembahan yang keempat. Pada akhir persembahan, saya merasa puas hati
dengan persembahan saya kerana segala penat lelah kami telah berakhir dengan
kegembiraan. Terima kasih diucapkan kepada pensyarah kami, Encik Nor Shuradi
bin Nor Hashim bersama Puan Haneem binti Said atas tunjuk ajar yang telah
diberikan selama ini. Tunjuk ajar anda akan saya ingati sampai bila-bila.
Semoga Allah SWT merahmati anda. Aminnn. . . .
teknik lakon Stanislavski dan Bertolt Bercht
1.0 Pengenalan
Blog ini merupakan salah satu kerja kursus yang diarah oleh Encik Nor Shuradi bin Ibrahim, pensyarah ATP3013 Seni Lakon Awalan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau mengarahkan setiap pelajar ISM Seni Persembahan Teater menulis tentang teknik lakonan tokoh Stanislavski dan Bertolt Bercht yang telah dipelajari dalam kelas. Setiap tokoh mempunyai pandangan
atau falsafah tersendiri dalam bidang dunia lakonan. Walaupun terdapat
perbezaan antara mereka, namun kesemuanya adalah untuk menambahkan ilmu
pengetahuan tentang mencorakkan gaya lakonan. Tokoh seperti Stanislavski dan
Bertolt Bercht merupakan tokoh yang terkenal dengan falsafah mereka dalam dunia
lakonan.
2.0
Stanislavski
Stanis menegaskan bahawa
pelakon mesti balik semula
ke kehidupan biasa dan benar-benar memerhatikannya.
Prinsip teknik lakonan Stanis ialah semulajadi dan mengesankan rasa kebenaran. Beliau menentang lakonan yang
melampau dan diperbesarkan-besarkan. Kejayaan Stanis tertakluk kepada fikiran logiknya,
pemerhatiannya yang tajam, ketegasannya terhadap pelakon dan minatnya
yang mendalam terhadap lakonan. Beliau telah menerangkan beberapa teknik yang
digunakan dalam lakonan.
2.1.1
Perkataan “Magic If”
Stanislavski
tidak
mempercayai bahawa seseorang pelakon itu akan mempercayai seikhlas-ikhlasnya terhadap
kebenaran-kebenaran peristiwa dan realiti-realiti peristiwa yang
berlaku di atas pentas, tetapi beliau berkata bahawa
seseorang pelakon itu boleh
percaya terhadap beberapa
kemungkinan sesuatu peristiwa. Seseorang pelakon cuma harus
dan perlu mencuba menjawab
beberapa soalan seperti menetapkan sesuatu persoalan dalam
dirinya tentang perwatakan. Sebagai contoh, apabila seorang pelakon ditugaskan
untuk melakonkan watak seorang ibu tua, pelakon perlu bertanya kepada dirinya
seperti, “ bagaimana kalau aku menjadi
seorang ibu tua? Bagaimana perasaan seorang ibu? Bagaimana perlakuannya?
Bagaimana...bagaimana...bagaimana...”. Bagi seorang pelakon, dia tidak
perlu memaksa dirinya untuk mempercayai bahawa dia adalah manusia yang
dilakonkannya, tetapi cukuplah dia mengetahui segala pengalaman tentang
lakonannya. Perkataan ‘if’ dapat membantu pelakon untuk meransang segala
permasalahan yang berlaku dalam dirinya serta watak yang dimainkannya. Ini bermakna aksi-aksi yang logikal yang ditangani
dengan tepat akan merangsangkan mechanisma emosi dalaman.
2.1.2 Situasi sedia ada
Situasi
sedia
ada meliputi plot drama,
zaman waktu lakonan tersebut, waktu
dan tempat berlakunya lakonan atau persembahan, liku-liku kehidupan, hubungan pelakon
dan pengarah, peralatan,
prop dan set, tatacahaya, kesan bunyi atau apa sahaja yang dilalui oleh pelakon ketika
memainkan peranan pada
watak yang bakal dimainkannya.
Dalam hubungan ini, Stanislavsky percaya tingkahlaku psikologikal dan fizikal
seseorang
bergantung kepada pengaruh luar persekitarannya
dan sesuatu persembahan itu
menjelaskan apa yang dilakukan oleh seseorang pelakon itu di dalam situasi sedia yang tersedia.
Sehubungan
dengan itu, seseorang pelakon haruslah berhubung dengan persekitaran drama itu sehingga wataknya
seiring dengan diri pelakon atau menjadi sebahagian daripadanya.
2.1.3 Imaginasi
Imaginasi atau membayangkan kehidupan watak perlu
dilakukan berikutan penulis skrip kurang memperjelaskan masa silam dan masa depan watak-wataknya dan kurang memberi
perincian kehidupan masa kini watak-watak tersebut. Imaginasi ini mampu membantu
seseorang pelakon untuk
melengkapkan biografi atau biodata wataknya dari awal hingga akhir di dalam mindanya.
Ini bermakna melalui latihan teknik imaginasi atau
membayangkan, seseorang
pelakon dapat mengetahui atau merasakan bagaimana watak itu
digerakkan, apa yang mempengaruhi
tingkahlakunya,
apa yang diperlukannya,
bagaimana masa depannya sehingga akhirnya memberi lebih maklumat terhadap kehidupan masa kini watak dan akan
memberikan pelakon
perspektif dan perasaan serta pergerakan di dalam peranannya. Imiginasi yang banyak
akan membantu seseorang pelakon semasa pelakon cuba mentafsirkan seiap baris-baris dialog dan mampu mengisinya dengan
makna-makna yang tersirat atau lebih tepat memahami subteksnya. Apa yang
disimpulkan di sini,
baris-baris dialog yang dihasilkan oleh penulis adalah tidak tidak bernyawa dan kaku,
berubah sehinggalah seseorang pelakon berupaya menganalisa dan menampilkan keluar
maksud yang dikehendaki oleh penulis. Sekiranya para pelakon mempraktikkan latihan daya
imiginasi atau kuasa bayangan,
mereka akan menemui makna yang menarik di sebalik perkataan yang terucap.
Di samping itu, intonasinya
juga akan menjadi lebih menarik dan ekspresif mengikut dialog
dalam teks.
2.1.4 Konsentrasi tumpuan
Menurut Stanislavsky, beliau
yakin bahawa teknik
konsentrasi yang diamalkan oleh para pelakon merupakan kunci untuk mencapai
suasana
kreatif dan cantik di atas pentas. Tambahan beliau lagi, berdasarkan kepada peraturan
sainstifik, seorang pelakon
harus memberi tumpuan perhatian yang sepenuhnya kepada objek-objek pentas seberapa menarik
untuk menghindarkan faktor-faktor gangguan di atas pentas. Walaubagaimana
pun seseorang pelakon itu
tidak semestinya melupai penontonnya. Stanislavsky percaya
sekiranya pelakon itu
cuba merasakan dirinya berada bersendirian
di atas pentas, percaya tidak
nampak sesiapa atau mendengar apa-apa di kalangan penonton, ia adalah
bercanggah dengan seni lakonan.
Baginya penonton juga amat penting di dalam sesuatu persembahan
lakonan kerana mereka juga terlibat dalam
menjadi saksi terhadap jalan cerita atau persembahan yang disampaikan. Jelas beliau perlunya
seseorang pelakon tersebut untuk tidak merasa takut, sentiasa
merasa tenang, sentiasa menghilangkan rasa bimbang dan apa saja yang mengganggu kreativiti pergerakan
pentas bagi mencapai kepercayaan awam. Oleh demikian, hal ini tidak mustahil
direalisasikan sekiranya pelakon itu mampu memberi tumpuan yang maksima terhadap aksi fizikal dan terhadap kesemua lakonan yang mampu diimiginasinya
di sekelilingnya.
Stanislavski percaya pemikiran yang tepat dan aksi fizikal yang
cantik akan mengekalkan tumpuan pelakon. Tumpuan yang benar-benar konsentrasi bergantung kepada pengendalian
aksi fizikal yang tersusun. Stanislavksy
telah menjelaskan
bahawa apabila pelakon merasai
daya tumpuannya mulai terganggu, mereka harus menukarkan
tumpuannya terus kepada sesuatu objek di hadapan. Apabila hasil penumpuan tercapai semula, seseorang
pelakon itu perlulah memberikan tumpuan bermula
dari ruang kecil, kemudian ruang sederhana dan
seterusnya ke ruang sepenuhnya sehingga kembali kepada dunia
lakonannya.
2.1.5
Kebenaran dan Kepercayaan
Kebenaran di atas pentas adalah
berbeza dengan kebenaran dalam sesebuah kehidupan
nyata. Di atas pentas drama, tiada sebarang kebenaran fakta-fakta atau peristiwa-peristiwa kerana semuanya
adalah rekaan pelakon. Sehubungan itu, dalam
mengekalkan daya kepercayaan dan kebenaran di atas pentas, seseorang
pelakon itu tidak perlu menggunakan daya pukau atau memaksa diri mereka memasuki ruang halusinasi
untuk mendapatkan kebenaran.
Oleh itu, kepercayaan bermakna seseorang pelakon itu mengandaikan bahawa benda-benda atau
manusia seolah-olahnya mereka benda dan manusia dan akhirnya apa yang dikehendakinya akan
juga menyamai apa yang dipercayai atau dirasai oleh penonton.
Latihan yang berterusan mampu membantu pelakon untuk mendapatkan kebenaran dan
kepercayaan tersebut.
2.1.6
Hubungan Emosi atau Spiritual
Seorang pelakon perlu menyerap apa yang diperkatakan
oleh pelakon lain, iaitu melalui
perkataan-perkataan mereka, melalui aksi-aksi mereka, dan
melalui pemikiran-pemikiran
mereka, seolah-olah pelakon
itu baru pertama kali mendengarnya. Akhirnya sewaktu
cuba mempengaruhi
pelakon lain, iaitu cuba mencapai kesan fizikal yang
tepat (contohnya ekspresi senyuman), azamnya
akan menjadi lebih kuat,
imiginasinya akan terangsang dan penumpuannya akan
menjadi tajam dan pelakon tersebut akan mencapai perhubungan yang mantap dengan pelakon
yang lain. Perlakuan mendengar dan memahami apa yang seorang pelakon
katakan kepada pelakon lain dan juga memastikan apa
yang diperkatakan
hendaklah didengar dan difahami bagi mencapai hubungan
emosi atau spiritual.
Akhirnya perkara ini menunjukkan bahawa
berlakunya proses saling
pengaruh-mempengaruhi
dalam kalangan para pelakon tersebut sewaktu
persembahan berlangsung.
2.1.7 Tempo dan Ritma
Menurut Stanislavsky, tempo dan ritma
merupakan syarat penting untuk menghasilkan penumpuan dan
kebenaran dalam dalam
melaksanakan aksi-aksi fizikal. Beliau berpendapat dalam
kehidupan setiap minit mempunyai manusia mempunyai tempo(kelajuan) dan ritma (intensiti
pengalaman yang berubah-ubah) sama ada baik atau tidaki dalam atau diluar
jangkaan kita. Oleh itu, Stanislavsky percaya setiap
perkataan, setiap fakta atau peristiwa berlaku di dalam tempo
dan ritma yang bersesuaian.
Sebagai contoh, pergerakan
pergi ke tempat belajar dan balik dari tempat belajar
mempunyai tempo dan ritma yang berbeza sekiranya melihat hiruk-pikuk kesesakan jalanraya atau menyaksikan
kemalangan jalan-raya (maksudkan peristiwa yang bakal ditemui
dan ditempohi dalam peristiwa
itu). Oleh itu setiap aksi-aksi di atas pentas harus
mempunyai kesatuan tempo dan ritma
yang diperlukan seperti di dalam kehidupan realiti. Ringkasnya, Stanislavsky
menjelaskan di dalam diri individu itu, terdapat ritma yang mempunyai kebenaran
yang sebenar. Oleh itu, Stanislavsky menyarankan bahawa setiap pelakon itu
perlu mencari dan merasakan kebenaran ritma yang digalurkan melalui
kepercayaannya terhadap watak itu. Ini penting di dalam memberikan kepastian terhadap kebenaran pada peranan yang bakal
pelakon itu dukungi.
2.1.8
Adaptasi
Menurut Stanislavsky,
adaptasi merupakan kaedah untuk mengatasi halangan
fizikal dalam usaha untuk mencapai
matlamat atau objektif lakonan.
Stanislavsky menegaskan apabila seseorang pelakon itu mempunyai matlamat di dalam mindanya dan
setelah mentafsirkan individu-individu yang akan dihadapinya, seorang
pelakon itu harus memikirkan soal adaptasi
pula. Adaptasi dilakukan dengan menggabungkan beberapa persoalan seperti ‘apa’,
‘mengapa’, dan ‘bagaimana’ bagi mendapatkan perhatian yang sepenuhnya dalam
lakonan. Sebagai contoh, ‘apa yang perlu
aku lakukan?’ ‘mengapa aku perlu lakukan?’ dan ‘bagaimana hendak aku lakukan?’. Suasana kehidupan yang baru, atmosfera yang baru, dan waktu memerlukan adaptasi yang bersesuaian. Adaptasi yang
bercanggah dan diluar dugaan adalah sesuatu yang menarik kerana
pelakon berjaya mencorak lakonan tersebut. justeru, pelakon perlu mengetahui
tujuan lakonan yang akan dipersembahkan serta memberikan aksi yang penuh
konsentrasi dan menarik.
2.1.9
‘Memory Recall’
Pengalaman
seorang pelakon di atas
pentas berbeza dengan pengalaman di dalam kehidupan mereka secara realiti.
Perbezaannya berdasarkan hakikat bahawa pelakon berada di atas pentas
bertindak melakukan perwatakan watak dan juga pelakon yang mencipta perwatakan. Pengalaman pelakon
bersama watak yang dimainkan perlu saling mempergaruhi di antara satu sama lain. Menurut Stanislavsky,
pengalaman pelakon perlu ditukar dan dimasukkan ke
dalam diri perwatakan watak serta perlu jujur kerana pelakon mewakili pengalaman watak yang
didukung dan mempunyai penglibatan yang mendalam
sewaktu dipentaskan dan menyamai gambaran imej-imej manusia seperti di alam realiti. Sehubungan dengan
itu, Stanislavsky percaya kualiti persembahan pelakon bergantung
kepada peratus kejujuran
pengalaman (truthful experiences). Namun begitu kualiti pengalaman di atas
pentas berubah, kepada “poectic
reflection of life experience”. Pelakon juga perlu
menyedari pengalaman di atas pentas dan
di dalam kehidupan yang nyata agar pelakon tidak terperangkap dalam
lakonannya. Sekiranya pelakon menghayati dan memahami perwatakan watak, pelakon
mampu membawa persembahan yang menarik dan menampakkan kebenaran tersebut.
3.0 Bertolt Bercht
Bertolt
Bercht merupakan seorang
penulis drama, pemuisi dan pengarah teater yang sangat berpengaruh pada abad
ke-20. Beliau telah menulis beberapa idea tentang persembahan lakonan atau
teater sepanjang perjalanan hidupnya. Idea yang dikemukakan oleh beliau
bertentangan dengan idea yang ditetapkan oleh Stanislavski. Idea ini dipanggil
‘Teater Epik’. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pandangan
Stanislavski yang mahukan peonton memasuki dunia pelakon. Bagi beliau, segala
persembahan yang dilakukan perlu mempunyai tujuan dan memberikan ilmu
pengetahuan atau pendidikan kepada penonton. Malah, bukan setakat ilmu, tetapi
beliau tidak mahu penonton memasuki alam lakonan pelakon sebaliknya mempercayai
bahawa persembahan yang dilakukan hanyalah persembahan sahaja dan tidak perlu
menghayati perasaan pelakon di atas pentas. Brecht telah menetapkan beberapa
kaedah bagi mempengaruhi pemikiran manusia dalam bidang lakonan.
3.1.1 Verfremdungseffekt
Verfremdungseffekt yang diterjemahkan dalam
bahasa Inggeris sebagai "alienation effect” ataupun kesan pengasingan
ialah penonton diasingkan daripada persembahan yang dipertontonkan. Tujuan
sesebuah pementasan dijalankan adalah untuk mempersembahkan idea-idea dan
penonton harus membuat penilaian terhadap idea-idea tersebut. Oleh itu,
sesebuah pementasan yang dilakukan tidak boleh menyebabkan penonton hanyut
dengan emosi yang dipaparkan dalam sesebuah pementasan. Sebaliknya, Brecht
menjelaskan bahawa para penonton perlu sedar bahawa mereka sedang menonton
sebuah pementasan dan tidak perlu beremosi sebaliknya berfikir secara kritikal
akan mesej yang ingin disampaikan dalam pementasan itu dan melaksanakan
perubahan apabila keluar dari pementasan itu. Penonton juga perlu diberi
pengetahuan dalam setiap persembahan agar dapat memberikan pendidikan kepada
penonton dan bukannya persembahan yang kosong sahaja.
3.1.2 Historification (Pensejarahan)
Brecht mengalienasi penonton dengan meletakkan
babak-babak pementasannya dalam latar masa lampau. Sebagai contoh,
pementasan Mother Courage and Her
Children disetkan dalam latar masa abad ke-17 (pementasan tersebut
ditulis pada 1938, disunting kembali pada 1940 dan dipentaskan pada 1941).
Dengan cara ini, penonton akan lebih dialienasi memandangkan mereka tidak biasa
dengan latar masa lampau tersebut.
3.1.3 Allegorical
Allegorical adalah
penggunaan simbol-simbol dalam menjelaskan isi kandungan atau dilema dalam
sesebuah pementasan. Teknik ini diguna dalam pementasan Rise and Fall of the City of Mahagonn. Dengan menggunakan teknik
ini, penonton akan dialienasi oleh simbol-simbol yang akan menyebabkan mereka
berfikir akan makna yang terdapat dalam simbol-simbol tersebut.
3.1.4 Pseudo-foreign
Pseudo-foreign ialah adaptasi daripada teater-teater
luar yang setentunya berbeza budayanya daripada budaya audiens.Contoh pementasan
yang menggunakan teknik ini ialah The
Good Person of Sezuan.
3.1.5 Gestus
Gestus ialah apa sahaja pergerakan yang dilakukan oleh
seseorang pelakon dalam lakonan bagi menggambarkan keadaan sesebuah watak
berdasarkan teks. Gestus boleh menerangkan keadaan pelakon tanpa
memerlukan pelakon menunjukkan emosi dan boleh menyebabkan penonton teralienasi
daripada pementasan dan mengelakkan mereka daripada menjadi emosional.
3.1.6 Teknik lain
Teknik lain yang digunakan adalah:
1.) Penggunaan kapsyen yang dipancarkan di pentas bagi
menjelaskan apa yang akan berlaku dalam babak seterusnya.
2.) Teknik gangguan oleh narrator yang menjelaskan apa yang berlaku dan
memprovokasi penonton.
3.) Teknik di mana pelakon menanyakan secara langsung
kepada penonton.
4.) Penonton dibiarkan untuk menyelesaikan sendiri
pengakhiran teater dan penonton dibiarkan untuk berfikir.
5.) Teknik muzik yang berbeza dari emosi dalam sesebuah
babak.
Subscribe to:
Posts (Atom)